BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Sunday, July 10, 2011

GIGI SIHAT, SENYUMAN MENAWAN


oleh: Noormazla Nizan, Hanisah Yunus

GIGI SIHAT SENYUMAN MENAWAN

Dalam usaha memberi kesedaran kepada orang ramai betapa pentingnya penjagaan gigi yang lebih baik, Pusat Kesihatan Universiti Kebangsaan Malaysia mengadakan Kempen Kesihatan gigi untuk warga UKM bertempat di Pusat Kesihatan baru-baru ini.

Kempen yang berlangsung selama tiga hari bermula 27 hingga 29 Disember dengan kerjasama Fakulti Pergigian UKM di bawah Jabatan Peridontologi mendedahkan kepada orang ramai mengenai penjagaan gigi dan bukan hanya dengan memberus gigi dua atau tiga kali sehari malah banyak lagi perkara yang harus dititik beratkan.

Senyuman menawan memang menjadi idaman setiap individu. Untuk memiliki senyuman sebegini, faktor paling utama pastilah penjagaan gigi. Gigi yang tidak sihat atau bermasalah, pasti boleh mencacatkan penampilan. Gigi yang cantik pastinya menyerlahkan senyuman yang menawan. Penjagaan gigi yang sempurna adalah penting dalam kehidupan seharian.

Menurut Ketua Jabatan Unit Pergigian, Dr.Hamizah Hamidun, menjaga kesihatan pergigian adalah sama penting dengan penjagaan tubuh badan yang lain. Penjagaan gigi adalah amat penting terutama bagi individu-individu yang menghidap penyakit seperti kencing manis dan jantung dimana mereka berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan kuman yang bermula dari mulut.

“Setiap tahun kempen ini akan diadakan dan objektif utama adalah untuk memberi kesedaran kepada mahasiswa dan mahasiswi tentang kepentingan pergigian disamping untuk meningkatkan lagi pengetahuan mereka tentang kesihatan pergigian supaya dapat meningkatkan lagi kualiti hidup secara keseluruhan,” katanya.

Malah kata beliau, bagi mendapatkan gigi yang sihat dan menawan tips-tips penjagaan gigi yang baik adalah seperti menggunakan berus gigi yang sesuai mengikut usia serta melakukan teknik memberus gigi yang betul.

“Gunakan berus gigi yang sesuai dan mempunyai bulu yang lembut serta hujung yang bulat bagi mengurangkan risiko kecederaan gusi. Berus gigi yang terlalu lama dipakai, tidak dapat membersihkan gigi dengan sempurna dan boleh menyebabkan kerosakan gigi. Berus gigi patut diganti setiap tiga atau empat bulan sekali,”katanya

Sementara itu, teknik flos iaitu sejenis benang yang membersikan kawasan celah-celah gigi juga perlu dilakukan. teknik flos dan memberus gigi seharusnya dilakukan secara kombinasi bagi mendapatkan kebersihan mulut secara keseluruhan. Teknik penjagaan gigi adalah penting kerana masalah-masalah seperti Peridontial iaitu penyakit gusi atau pun gigi berlubang adalah bermula daripada penjagaan gigi yang tidak betul.

‘’Penggunaan cecair untuk berkumur juga membantu mengurangkan kerosakan gigi. Selain itu, perlu berjumpa dengan doktor gigi setiap enam bulan sekali untuk membuat pemeriksaan dan pembasuhan gigi secara menyeluruh,” katanya.

Beliau mengulas mengenai peggunaan mouthwash ataupun cecair kumuran yang dikatakan mengandungi kandungan alkohol yang tinggi dan boleh membawa kanser.

Dr. Hamizah menjelaskan bahawa kandungan alkohol adalah bagi menstabilkan bahan kandungan di dalam cecair kumuran dan tidak begitu berbahaya kepada lapisan mulut.

Menurut beliau lagi, beliau sama sekali tidak bersetuju bahawa penggunaan cecair kumuran sahaja yang menyebabkan kanser sebaliknya banyak lagi faktor lain seperti merokok, pengambilan minuman keras merupakan penyebab yang lebih besar kepada kanser.

Oleh itu, Penjagaan gigi tidak hanya semusim, tetapi seeloknya biarlah usaha penjagaan kesihatan gigi itu berpanjangan. Malah, amalan diet seimbang, mengurangkan pengambilan gula serta sentiasa memberus gigi dengan betul yang dijadikan amalan kehidupan seharian boleh meningkatkan tahap kesihatan gigi.


pelajar UKM sedang membaca poster cara penjagaan gigi

sesi pendaftaran pemeriksaan gigi

suasana kempen gigi sihat di usat Kesihatan UKM

No comments:

Post a Comment