BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Sunday, July 10, 2011

Anda Pembawa Talasemia???

Oleh: Noormazla Mohamad Nizan, Nur Syahirah Abdul Ghani

TALASEMIA: Anda Mungkin Pembawa!!!!




Talasemia adalah sejenis penyakit keturunan yang membabitkan kurangnya pengeluaran haemoglobin dalam sel darah merah seseorang pembawa gen talasemia.
Pembawa talasemia sebenarnya sihat dan normal. Pembawa hanya boleh dikesan melalui ujian saringan talasemia.

Pada zahirnya, anda mungkin kelihatan sihat. Namun siapa sangka bahawa anda adalah salah seorang daripada pembawa talasemia. Namun, masih terdapat ramai lagi yang kurang pengetahuan tentang Talasemia.

Oleh yang demikian, buat julung-julung kalinya kelab Talasemia Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia dengan kerjasama Persatuan Mahasiswa/I Fakulti Perubatan UKM (PERSIAP) dan Persatuan Mahasiswa UKM (PMUKM) telah menganjurkan kempen kesedaran Talasemia di dataran Pusanika UKM pada 28 December 2010 yang lalu.

Objektif utama program ini adalah untuk meningkatkan kesedaran dan tahap pengetahuan mengenai Talasemia di kalangan masyarakat umum terutama warga UKM.

Selain itu, kempen ini juga dilihat sebagai simbol mengeratkan lagi kerjasama antara Kelab Talasemia Pusat Perubatan UKM (My Thal Club) dan Persatuan Mahasiswa/i Fakulti Perubatan UKM (PERSIAP) demi meningkatkan kualiti perubatan dan rawatan.

Dekan Fakulti Perubatan UKM, Profesor Dato’ Dr. Lokman Saim berkata, bilangan kes baru talasemia akan terus meningkat berikutan perkahwinan antara pembawa penyakit itu.

Di Malaysia, talasemia merupakan masalah kesihatan yang besar kerana dari beberapa kajian yang telah dijalankan menunjukkan bahawa kadar pembawa gen talasemia adalah di dalam lingkungan 3 hingga 5 peratus atau 1 dalam 20 orang rakyat Malaysia. Dengan itu, dianggarkan seramai 600,000 hingga 1 juta orang rakyat Malaysia adalah pembawa gen ini.

Beliau berkata, “Kempen kesedaran seperti itu akan membangkitkan kesedaran dan sifat ingin tahu di kalangan orang ramai supaya mereka sentiasa diingatkan mengenai penyakit itu dan cara mencegahnya”. Tambahnya lagi, talasemia merupakan satu-satunya penyakit genetik yang telah terbukti boleh dicegah dan dikawal sekiranya mendapat sokongan padu daripada masyarakat. Kunci kejayaan program pencegahan dan kawalan talasemia adalah pendidikan kesihatan yang berterusan dengan sokongan daripada semua pihak.

Menurut Dr Lokman juga, kejayaan kempen seperti ini bergantung kepada kerjasama pelbagai pihak trmasuklah badan kerajaan ataupun NGO dalam memainkan peranan masing-masing.

Sehubungan itu, Hari Talasemia Antarabangsa disambut pada 8 Mei setiap tahun bagi mengukuhkan lagi aktiviti penyebaran maklumat dan pendidikan kesihatan mengenai talasemia serta menyedarkan masyarakat mengenai penyakit tersebut.

No comments:

Post a Comment